Friday, December 12, 2008

Matahari, Guruh, Pelangi dan Sebuah Kehilangan...



Kadang-kadang Allah hilangkan sekejap matahari kita, lalu DIA datangkan guruh dan kilat... Puas kita menangis...menunggu dan mencari ke mana hilangnya matahari kita... Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah..:)
____________________________________________________________________
Suatu ketika dulu, ada seorang sahabat telah kehilangan seseorang yang sangat penting di dalam hidupnya. Seseorang yang baginya adalah model dan contoh terbaik untuk diikuti.Seseorang yang bagi keluarganya adalah umpama kekuatan dan tulang belakang untuk mereka bersandar. Namun, janji Allah pasti tidak akan dapat kita hindari kerana dariNya kita datang dan kepadaNya kita kembali. Walaupun dalam kesedihan, namun sahabatku itu pandai melindungkan perasaannya dengan menghabiskan banyak masa dengan kawan-kawan...Namun, aku tahu, dia tidaklah sekuat mana lebih-lebih lagi kehilangan itu baru sahaja berlaku. Inilah kehilangan pertama yang amat perit yang pernah berlaku di dalam hidupnya.Sememangnya, kita tidak dapat lari daripada ujian Allah. Kerana dengan ujian itulah iman akan teruji.

Seperti kata adikku, dugaan juga boleh diibaratkan seperti membina sebuah istana pasir yang cukup cantik di tepi pantai. Puas kita menjaga istana pasir itu dengan penuh berhati-hati agar tidak merosakkan mana-mana bahagian yang telah lengkap. Penat kita mengambil masa berjam-jam malah berhari-hari membina istana itu tanpa tidak pernah menyangka ia akan musnah akhirnya kerana ia dibina di tepi pantai.

Fenomena itu sememangnya kita tahu. Tapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Ombak hidup mengikut aturan sang Pencipta. Akhirnya istana pasir yang kita bina itu pasti musnah jua dipukul ombak besar. Pasti kita ingin menangis kerana istana pasir itu telah musnah kerana penat lelah kita membina dan menjaganya selama ini. Masakan usaha berhari-hari kita musnah dalam masa tidak lebih seminit. Sekelip mata. Begitulah ibarat peristiwa atau ujian yang dilalui.

Aku, sebagai sahabatnya, pernah melihat kesedihan yang tidak pernah surut di dalam matanya. Aku cuba menjadi seseorang yang memahami masalahnya kerana aku tidak mahu lagi melihat kesedihan yang bertamu di wajah itu. Aku mahu melihat dia tersenyum seperti biasa. Bagiku, aku berasa puas hati dan gembira yang teramat sekiranya aku dapat membantunya meringankan bebanan hatinya yang duka lara. Aku menjadi sedih setiap kali melihat dia bersedih walaupun dia cuba menjadi orang yang ceria. Aku menjadi sedih setiap kali melihat ada kesedihan di dalam senyum tawanya. Setiap kali dia meluahkan rasa hatinya, setiap kali itulah aku menjadi pendengar setia. Sahabat lain pun begitu juga. Tetapi,yalah...kita tidak tahu apa yang ada di dalam hatinya kerana bukan kita yang mengalaminya. Namun, aku pasti perasaan aku dan dia, kalau bukan sama pasti hampir sama seperti aku kehilangan arwah datukku dan moyangku. Kehilangan datukku paling dirasai walaupun tanggal 2/10/1996 sudah lama berlalu. Dialah yang menggantikan umi dan abah menghantarku dan adik-adikku ke sekolah sehinggakan kawan-kawan dan guru-guru menganggap bahawa itulah ayahku. Banyak kenangan indah bersamanya. Pernah kami semua jatuh dari motosikal datuk ketika ingin ke sekolah. Manis sungguh kenangan itu.

Tiba-tiba terasa sedih pula ketika menulis waktu ini...

Kepada sahabatku itu, aku berusaha sebaik mungkin menjadi seorang sahabat yang memahami kerana aku tahu, mungkin ini hari dia. Hari ini dia merasainya. Aku pula, hanya Tuhan yang tahu... Oleh itu, apalah sangat masa dan nasihat yang ku berikan padanya dibandingkan dengan kegembiraannya yang ibarat sudah diragut pergi. Sabarlah, duhai sahabat...Pernah aku katakan pada sahabatku itu, redhalah dengan apa yang berlaku. Namun, dia hanya tersenyum atau diam sahaja. Bagi aku yang tidak mengalaminya, amat mudah untukku lontarkan apa sahaja kata berupa nasihat. Namun, betullah kata orang kerana aku kadang-kadang pun diuji bahawa redha tidak semudah yang kita sebut-sebutkan. Redha itu perit, tapi imbalannya manis..Kata orang sabar itu adalah yang paling mulia, tapi redha itu paling tinggi selain bersyukur menerima ujian kerana antara sabar dan redha, redha itu kita perlu ikhlas menerima setiap ketentuan. Bayangkan jika anda menerima ujian yang terlalu berat, kita akan tahu apa bezanya redha dan sabar. Ia memang berbeza.

Kepada sahabatku itu, dari sudut pengertianku...matahari itu boleh diibaratkan seperti seseorang yang kita sayang atau sesuatu yang berharga yang pernah kita miliki...Namun, kadang-kadang matahari juga hilang dari pandangan untuk memberi laluan kepada kilat dan guruh. Begitu juga dengan orang yang kita sayang.. jika janji Allah sudah sampai, maka kita akan kehilangannya.Namun itu hanyalah sementara sahaja, sahabatku. Kilat dan guruh boleh diumpamakan sebagai sebuah dugaan atau ujian daripada Allah kepada kita untuk menguji sejauh mana keimanan kita kepadaNya. Dalam hal ini, guruh dan kilat boleh diibaratkan perasaan kehilanganmu itu.Biasanya dengan guruh dan kilat itu, hujan akan turut serta. Hujan juga ibarat air mata yang gugur mengiringi kesedihan hati kita. Tetapi jangan kita lupa, sebenarnya hujan itu adalah rahmat. Rahmat Allah kepada kita kerana selepas hujan panas, lazimnya pelangi akan muncul dengan tiba-tiba setelah awan mendung berarak pergi. Pernahkah kau melihat keindahan pelangi selepas hujan turun? Aku pernah..dan ku yakin dirimu juga pernah. Cantik, bukan? :) Pelangi itulah yang kita boleh ibaratkan sebagai kegembiraan kita selepas dugaan hebat yang kita lalui.

Ingatlah, ada nikmat dan rahmat di sebalik ujian yang melanda... Selagi dirimu mempunyai Allah sebagai tempat bergantung, keluarga sebagai sumber kekuatan dan sahabat handai sebagai tempat berkongsi kesedihan dan kegembiraan, maka janganlah kau menangis lagi dan lepaskanlah kesedihan itu pergi dengan redha hati kerana masih ramai yang menyayangimu...:)

Sahabatku...
Biar kepahitan itu pergi, agar kemanisan mengisi...

Biarkan kekecewaan itu berlalu, agar kegembiraan mewarnai...
Biarkan kegelisahan lenyap, jangan kita hilang semangat...
Biar penderitaan itu menyapa, agar kekuatan kita jana semula...
Hidup ini indah jika segalanya kerana ALLAH...:)

Kembalilah kepada Allah.

Kepada diriku dan dirinya serta kepada anda semua...
Bersyukurlah, sebenarnya terlalu banyak pelajaran Allah berikan daripada ujian yang kita lalui...

Pertama seperti wasiat Luqman al-Hakim lagi kepada anaknya “Wahai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan sahaja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu memberi kesengsaraan”

Keduanya, janganlah kita membina istana pasir lagi. Binalah istana untuk kita diami. Kali ini, kita perlu berhati-hati.

Ketiga, biarlah apa yang diperlakukan orang terhadap kita, selagi keyakinan kita pada Allah selagi itulah hidup kita bahagia.

Akhirnya, marilah kita belajar erti sabar dan redha. Amin.

Wallahua'lam.


P/S: Kepada sahabatku itu...aku mahu lihat kau senyum kembali..Aku gembira jika dirimu bahagia:) Senyum...suka orang tengok...:) Jangan menangis lagi,tau...tau..:) Kami semua mendoakan dirimu. Matahari mengasihi apa yang disayangi... Jadilah seperti matahari:)

Senyum...:)
-ff, 12122008-

__________________________________________________________________

1 comments:

They Call Me Panjang said...

catatan tentang sahabat ini betul-betul menyentuh perasaan.. harapan agar sahabat penulis terus tabah disamping keluarga dan teman-temannya