Showing posts with label Realiti Hidupku - Hanya Aku:). Show all posts
Showing posts with label Realiti Hidupku - Hanya Aku:). Show all posts

Tuesday, September 18, 2012

Anugerah Terindah - Part 1


Salam..
Bercerita mengenai anugerah terindah di dalam hidup kita...Hmm..
Selain daripada dikurniakan pasangan hidup atau soulmate sebagai kurniaan terindah di dalam hidup kita, juga mempunyai ibu ayah yang menyayangi kita serta anak-anak comel dan adik beradik yang memahami (juga sesuatu yang terindah)... kita juga sebenarnya turut dikasihi oleh Yang Maha Pencipta dengan menganugerahkan kita sahabat yang menghormati serta juga sayang kepada kita...
Hmm..betul, lah kan...
Kita tentu dapat rasa orang sayang pada kita, kan...
Kenapa kita dapat rasakan orang sayang kepada kita...? Hmm..Kerana kita juga ikhlas sayang kepada dia iaitu sahabat-sahabat kita..
Pernah dengar tak, bila hati sayang kerana Allah..bertemunya tidak jemu...dan berpisahnya tidak gelisah..sebab itulah ketika Allah mentakdirkan perpisahan, kita tetap mengingati sahabat2 kita... susah untuk melupakannya..mungkin seumur hidup kita diperlukan untuk melupakan!! Hmm..sedihkan kalau berpisah?

(^_^)

Kenapa diperlukan seumur hidup untuk melupakan orang atau sahabat yang kita sayang?

-bersambung....

Monday, September 17, 2012

Senyum Dalam Hati

(,-_-,)

Hmm...kekadang sesuatu peristiwa yang berlaku dalam hidup kita sehari-hari...tak mampu diungkapkan dengan kata-kata...Biasanya, kita selalu dengar dan selalu mengalaminya, iaitu apabila sedih dengan sesuatu perkara, kita akan menyimpan kesedihan kita di dalam hati.. Dengan kata lain, malas nak fikir! Kadang-kadang, kita nak luahkan segala masalah kepada seseorang, tapi bila difikirkan semula, lebih baiklah kita berdiam diri sahaja..Kalau nak luah, kan ke kita kena bercerita dari awal lagi kan...Memandangkan kalau bercerita tentu akan membuatkan kita mengingati kedukaan atau kesedihan itu semula, maka lebih baiklah kita pendamkan di dalam hati...Lama-lama masalah akan hilang bersama angin lalu...hmm..

(^_^)

Begitu juga kalau kita gembira... biasanya kita akan kongsikan bersama orang lain... Kita ingin orang lain turut sama merasai kegembiraan yang kita alami...Namun, adakalanya sesuatu peristiwa yang membuatkan kita tersenyum itu, hanya kita yang tahu dan tidak perlu dikongsikan dengan orang lain...ini yang dinamakan 
"SENYUM DALAM HATI.."


Seseorang telah memperkenalkan saya tentang frasa "Senyum dalam hati" ini...Hmm...mengapa dan apa yang telah membuatkan dia tersenyum di dalam hati, tidaklah pula saya ketahui.. Namun, kata-kata ini juga turut membuatkan saya juga senyum dalam hati...Ya, saya akui..memang ada sesetengah perkara tak perlu dikongsikan...hanya perlu senyum sahaja di dalam hati..hanya kita yang tahu sebabnya..

(Ambe pinjam kata-kata ambe di sana, ye..Terima kasih)
(^_^)


Thursday, September 13, 2012

Rindu Kenangan Dulu..

Kadang-kadang rindu pada zaman muda-muda dulu..rindukan suasana
 yang sudah lama berlalu..rindu pada sahabat2...rindu pada sesuatu tempat..ye lah..tempat jatuh lagikan dikenang...tak kiralah pasangan sendiri ke..atau sesiapa sahaja..yang pasti siapa atau apa yang kita rindukan itu sudah pastinya pernah membuatkan kita tersenyum..samada senyum sorang2 atau sekadar di dalam hati sahaja...Hmm.. pastinya memakan masa seumur hidup untuk melupakan...
(^_^)
Moga sentiasa berbahagia walau siapapun anda...!!
Terima kasih kerana kehadiran anda semua telah mewarnai hidup saya dengan penuh warna warni dan memberikan saya senyuman indah walaupun sekadar 
di dalam hati ini....
Kehadiran anda semua terlalu bererti...
Moga Allah sentiasa melindungi...
Amin.

Monday, July 16, 2012

Redha...




"...Tetiba hari ini aku rasa sangat sedih...
__________________________________________


Bila kau memandang segalanya dari TUHANmu,
Yang mencipta segalanya…
Yang menimpakan ujian…
Yang menjadikan sakit hatimu…
Yang membuatkan keinginanmu terhalang…
Serta menyusahkan hidupmu…
Pasti akan…
Damailah hatimu…
Kerana masakan ALLAH mentakdirkan segalanya untuk 
sesuatu yang sia-sia…
Bukan ALLAH tidak tahu deritanya hidupmu…
Retaknya hatimu…
TETAPI maka itulah yang DIA mahu kerana DIA tahu…
Hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah…
Untuk dekat dan akrab denganNYA…



TIADA RASA INGAT AKAN ALLAH TANPA UJIAN…
TIADA RASA KEHAMBAAN TANPA KEPASRAHAN…
TIADA RASA PERGANTUNGAN TANPA KEPAYAHAN…
SESUNGGUHNYA….
ALLAH MEMBERI KEMUDAHAN DALAM KEPAHITAN…

HIDUP INI INDAH JIKA SEGALANYA KERANA ALLAH……



Monday, July 9, 2012

Tuhan...tolong jagakan dia untukku...

Malam...
kau bawalah rinduku..
untuk dirinya yang jauh dariku..
agar dia tidak kesepian..
selalu rasa ada..
cinta AKU...

Hujan...
bawa air mataku...
yang mengalir membasuh lukaku...
agar dia tahu ku tersiksa..
tanpa DIA disisiku..

Hanya mampu berserah...
Tolong jagakan dia untukku, Ya Allah.

Tuesday, December 22, 2009

Bertemu kembali :)

Salam pertemuan...

Sudah lama tidak menulis..berbulan-bulan lamanya. Alhamdulillah, akhirnya aku selamat melahirkan anak sulungku setelah hampir 4 tahun menunggu.. hari ini anakku berusia 54 hari. Syukur kepada Allah kerana mengurniakan nikmat kesihatan kepadaku, suamiku, anakku, kedua ibu bapaku dan seluruh ahli keluargaku. Syukur.

Anak adalah anugerah Allah..penyejuk mata, penghibur duka lara, permata yang tiada nilainya.. Anak adalah segala-galanya. Terima kasih duhai anak... hadirmu amat umi dan abi nantikan.. :)

Duhai anakku,
Jadilah seorang anak yang setia kepada Penciptamu, setia kepada Rasulmu, setia kepada agamamu, setia kepada umi dan abimu, setia kepada keluargamu, amanahmu..seperti namamu, Wafiy (Ahmad) yang bererti yang setia.. :)


Monday, September 14, 2009

Alhamdulillah...




Akhirnya dapat juga aku mengisi borang pertukaran sekolah... Semoga Allah mempermudahkan segala urusanku dan memakbulkan doaku untuk bertukar, berada dekat dengan suami... Memang sepatutnya tempat isteri adalah di sisi suami... Bukan senang hidup sendiri pabila berjauhan daripada suami... Segalanya memerlukan bukan hanya sedikit kekuatan dan kesabaran... Semuanya menagih keteguhan iman dan kecekalan hati... Namun, dengan adanya Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang berserta dorongan dan titipan semangat "spiritual" suami yang begitu tinggi terhadap diri ini, maka segalanya berjaya kutempuhi, lebih-lebih lagi dengan adanya " buah cinta " kami yang semakin mengukuhkan lagi cinta antara dua jiwa ini... Jauh di mata dekat di hati... Walaupun terkadang ada kalanya diri ini seperti hilang arah, mengharapkan segalanya seperti dahulu, namun cepat-cepat ku kembalikan diriku semula kepadaNya kerana segalanya yang berlaku adalah takdirNya. Bak kata suamiku, untuk menikmati sesuatu kebahagiaan, memerlukan satu pengorbanan dan kita harus sabar berserta redha. Ya, aku sabar, namun amat payah untuk redha. Tetapi, sekarang aku sudah semakin belajar erti redha. Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini seorang yang redha atas apa yang berlaku... Sabar itu senang, tetapi redha itu memerlukan kekuatan iman....Kuatkanlah imanku, Ya Allah...

Wallahu'lam.

Friday, January 30, 2009

Malas je rasa...


Hmm...dah hampir seminggu dok kat kampung... Esok dah nak balik Shah Alam... Malas je rasanya.. Dah hampir seminggu jugak demam, batuk, selsema... kadang2 rasa sakit dada... Tapi tak apa lah...itu semua kafarah dosaku... Huhuu :( Rasa malas menguasai diri setiap kali ingin pulang ke Shah Alam.. nak kena mengemas pakaian lagi, nak kena buat itu ini...pendek kata semuanya tak nak buat... tapi kena buat jugak... Sebenarnya bukan malas pun, tapi sedih...:'(

Seminggu di kampung... menghabiskan masa dengan keluarga...umi, abah, mok, adik2, keluarga mertua, saudara-mara...dapat menghilangkan rasa 'tensen' yang sarat di dada... walaupun sekejap cuma, tapi amat bermakna... Walaupun kurang sihat, tapi itu semua tidak menjejaskan sedikit pun kegembiraan diri ini berada di kampung halaman sendiri...

Orang kata... walaupun kita berada jauh di mana2, tetapi jangan sesekali melupakan ibu bapa... Jangan biarkan diri kita lama tidak menjenguk mereka kerana melihat sahaja wajah mereka, pasti jiwa kita terasa lapang... Begitulah apa yang aku rasa...

Jika ingin anak2 kita berbuat baik kepada kita pada masa hadapan, maka berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa kita...

Wallahua'lam.



p/s: Ada sorang sahabat aku salahkan aku sebab tak bagitahu dia yang Adik demam... Maaf je yang boleh dipinta...Semoga sahabat dan Adik cepat sembuh...

Sunday, January 25, 2009

Perjalanan yang memenatkan...tetapi habuan yang lumayan:)

Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH...akhirnya sampai jugak di kampung halaman yang tercinta...lebih kurang pukul 12:15 tengah malam..

Penat.... itulah perkataan yang paling tepat yang boleh kukatakan saat ini... Baru sahaja sampai di rumah setelah mengharungi perjalanan yang amat memenatkan sepanjang hari ini... Macam mana tak penat... hampir 14 jam di dalam perut kereta MyViku.. Berhenti cuma untuk solat, isi minyak kereta, qada hajat, makan dan beli sayur dekat umi di Cameron Highlands..

Bertolak lebih kurang pukul 10.00 pagi dari Shah Alam... Makan pagi di Sri TTDI, restoran masakan Kelantan yang best kat TTDI...dan terus pergi ke Kuala Kubu Bharu ambil Ejah kat umah sewanya..Sampai sana dah hampir pukul 1 petang..jem yang teruk di highway ke Rawang dan jalan lama ke Kuala Kubu Bharu.. Mulanya ingat nak ke Cameron Highlands ikut tol Simpang Pulai untuk mengelakkan jalan bukit yang berliku-liku, tetapi disebabkan jem kat highway tu, maka terpaksa keluar ikut tol Tapah. Jalan dari Tapah ke Cameron telah mambuatkan aku pening dan badan aku macam tak bermaya, nasib baik tak muntah...Hehe...Yelah, jalan macam ular kena palu, naik bukit turun bukit...hampir 70 km terpaksa tahan diri dari muntah, sambil tangan tutup mata dari lihat jalan... jadi, macam manalah tak pening..Dok kat seat belakang pulak tu..

Selepas berhenti dekat Tanah Rata untuk tunaikan solat jamak takhir Zohor-Asar dan mengisi perut, aku mengambil alih memandu kereta. Huh! Barulah lega rasa pening aku tu.. Aku ni, kalau memandu kereta walaupun dekat jalan yang berliku-liku macam tu, atau jauh macam mana sekalipun, tak ada pulak aku rasa pening atau nak muntah... Mungkin sebab aku ni suka drive kot...Hehe...:) Tapi dapat drive sekejap sahaja sebelum berhenti beli sayur dekat umi. Lepas tu, soulmate aku ambil alih semula. Hujan katanya...

Lega sikit bila dah masuk sempadan Cameron Highlands-Gua Musang lebih kurang jam 6:00 petang...hari makin gelap..kereta yang lalu lalang pun jarang2 je..walaupun lega tapi still lagi ada rasa takut sebab umi aku kata ada tanah runtuh... Huh! Memang ada pun tanah runtuh.. jalan raya mendap pun ada jugak...bahaya sungguh...terpaksa lalu jalan alternatif yang penuh cabaran untuk sampai ke penghujung highway tu. Jalan yang hanya memuatkan sebuah kenderaan sahaja, ditambah pulak dengan cerun curam di kiri jalan menuruni bukit tersebut tanpa penghadang cuma rumpunan lalang sahaja (mungkin ada kot di sebalik lalang tu..!), tak ada lampu jalan (ke aku yang tak perasan, kot!)... selekoh yang tajam.. Woo!!!... mencabar sungguh! Setiap kali nak ambil selekoh, terpaksa membunyikan hon kereta kot-kot bertembung dengan kereta lain..kiri kanan jalan bukit tu pulak penuh dengan lalang-lalang liar yang membataskan pandangan di sebalik selekoh.. Mana tak mencabar...nasib baiklah sekejap je lalu kot jalan alternatif tu...Huhu.. lepas tu ambil highway balik... selamat... Alhamdulillah..

Akhirnya sampai jugak di bandar Gua Musang setelah melalui jalan yang penuh dugaan itu.. berhenti untuk solat jamak taqdim Maghrib-Isyak di Masjid Tengku Faiz Petra..( adik bongsu aku baru bagitau nama masjid ni sebab aku lupa ...dia kata nama masjid tu sempena nama dia, sebab tu dia ingat nama masjid tu...perasan!)Perjalanan diteruskan walaupun hujan lebat sekejap ada, sekejap tak ada turun...Hujan itu rahmat...best jugak sebab tak adalah perjalanan tu 'panas' sangat.walaupun jem aje memanjang... Tiba-tiba perut laparlah.. Huhu... berhenti makan di Kok Lanas jam 11:40 malam.. tapi tak ada char kue tiow... makan nasik je... sempat jugak tengok cerekarama Bisikan Subuh lakonan Remy Ishak..sedih cerita tu...tapi banyak pengajaran.

Akhirnya, sampailah anak2 umi, anak2 abah dan cucu2 mok ini di teratak mereka dengan senyuman penuh makna...disambut dengan limpahan kasih sayang dan kegembiraan oleh umi, abah dan mok walaupun tiba lewat malam.. (mok, umi dan abah sanggup bangun tidur bila tahu anak2 dan cucu2nya dah balik mok memang selalu macam tu... walaupun dia kurang sihat, tetapi semua kesakitan mok bagaikan hilang apabila anak2 dan cucu2 berkumpul padahal baru semalam penyakit mok menyerang lagi seperti yang umi aku bagitahu... namun malam ini, nampak matanya bersinar2 dan wajahnya berseri2...begitulah kasih, cinta dan sayangnya seorang nenek pada anak2 dan cucu2nya apatah lagi cinta seorang ibu dan ayah kepada anak2nya...) (^-^) Malam ni, kami semua berkumpul... mok dan umi bercerita tentang perangai dan karenah kami masa kecik2 dulu... kekadang abah pun manyampuk juga ... dalam bercerita, kami semua ketawa... Mok memang gemar membuka cerita tentang masa 'muda' kami...Hehe... seronok sangat bila dapat berkumpul begini... Bukan senang nak berkumpul begini memandangkan semuanya merantau kecuali adik bongsu aku je...dia suka sangat 'duduk bawah ketiak' umi... Hehe... Jadi, hargailah masa yang ada dengan keluarga... kenanglah setiap saat yang dilalui bersama... kerana masa yang lepas tak akan berulang lagi...:) Jiwa terasa amat lapang....:)

Kesudahan yang baik daripada cerita ini, walaupun perjalanan amat memenatkan dan penuh 'liku' serta badan sangat letih, tetapi semua itu akan hilang setelah bertemu mata dengan keluarga tersayang... Begitulah bermaknanya sesebuah keluarga bagi mereka yang tahu menghargai betapa pentingnya ikatan mahabbah antara keluarga itu. Baiti Jannati..:)

Moral daripada cerita ini...Hargailah kedua ibu bapa, nenek dan adik beradik serta orang tersayang selagi hayat dikandung badan.. jangan sampai menyesal di kemudian hari...Wallahua'lam.

Saturday, January 10, 2009

Asiari...

Semalam, malam... dalam pukul 9.00 malam...aku pergi makan kat tempat yang boleh dikatakan ekslusif lah jugak iaitu Asiari... sebab soulmate aku nak raikan besday aku. Aku suka pergi Asiari sebab ada satu menu tu, sedap sangat.. apa entah nama menu tu, tak ingatlah pulak.. ada daging yang agak manis dan pedas, ada lotus, ditambah lagi dengan perisanya yang sedap..Nyum2...:) Pekena pulak dengan air favourite aku iaitu ice lemon tea.. (bukan teh o ais limau ye...!) Boleh dikatakan, setiap kali pergi ke situ, menu itulah yang selalu aku pesan... tak pernah pesan menu lain. Entahlah, macam tak jemu2..Huhu..:)

Dah lama dah nak pergi ke sana..tetapi baru semalam berkesempatan melangkahkan kaki...Seronok sangat..Soulmate aku, lagilah...Bila tengok aku gembira, dia lebih-lebih lagilah.
Sesampainya di sana, aku terserempak dengan sahabat aku bersama tunangnya. Terkejut 'monkey' aku tengok kelibat dia.. Yalah sebab tak sangka.. Sebab tak sangka dan terkejut itulah maka aku tak sedar muka aku dah berubah sehinggalah ditegur oleh soulmate aku..Dia pun pelik muka aku berubah... sampaikan tunang sahabat aku tu cakap aku ni garang.. Garang ke aku? Teruk sangatlah tu muka aku waktu tu! Ralat jugak aku... Tapi yang paling aku geram kat sahabat aku tu, bila sahabat aku tu cakap kat tunang dia yang mungkin aku baru lepas gaduh dengan soulmate aku...kelakar pun ada... Buat sahabat aku tu, kalau aku bergaduh dengan soulmate aku, tak adalah aku pergi ke sana...Hehe..Baik aku makan kat kedai mamak je..Huhu..Tak apa...aku faham dia tak sengaja cakap macam tu...Aku maafkan sahabat aku tu:)

Tetapi, aku marah jugak kat diri sendiri..tak elok kita buat macam tu, kan? Apa salahnya kita memaniskan muka demi menjaga hati orang lain... lebih-lebih lagi apabila kita berjumpa buat pertama kalinya dengan orang yang baru kita kenal... Boleh menambahkan koleksi kawan kita...

Tetapi, janganlah kita terus menghukum seseorang itu dengan mengatakan dia garang atau tak peramah disebabkan oleh air mukanya pada waktu itu...kerana sekiranya kita tidak mengenali seseorang itu lebih-lebih lagi baru pertama kali berjumpa, maka rasanya tidak berhak untuk kita membuat andaian sedemikian, kan? Kenalilah mereka terlebih dahulu.. Mungkin mereka ada masalah yang dihadapi waktu itu yang tidak memungkinkan tercetusnya senyuman. Janganlah terus membuat andaian yang bukan2 tentang seseorang dengan mengatakan mereka baru lepas bergaduh atau sebagainya kerana kita tidak tahu apa yang sebenarnya yang terjadi. Ya, mereka pun salah juga kerana seolah-olah tidak meraikan kehadiran sahabat baru dengan mempamerkan senyuman yang agak tidak ikhlas dan muka yang masam mencuka. Namun, tidak mustahil orang yang tidak memberikan senyuman itulah yang bakal menjadi kawan baik kita pada masa susah senang ... dan tidak mustahil juga orang yang selalu tersenyum dan ketawa itu menyimpan 1001 muslihat yang kita tidak sangka. Jangan menilai seseorang dengan hanya sekali perjumpaan... selamilah hati mereka.

Buat sahabatku dan tunangnya, jika kesilapan semalam belum terampun, maafkanlah. Jika kesilapan hari ini menyakitkan, harap lupakanlah. Jika kesilapan esok mendatang, janganlah dibawa ke akhirat.
Kita tetap kawan sampai bila2..
(^_^)

Buat aku dan diriku... muhasabahlah diri... Sesungguhnya kita adalah makhluk Tuhan yang lemah.

Wednesday, December 10, 2008

Kafarah Dosaku...

Hmm... tu baru jatuh tangga...tiada calar atau luka...belum lagi Allah bagi yang lebih dari itu...tapi biasalah manusia...Allah bagi sakit sikit dah mengeluh...Pernah dulu, masa belajar, aku ada menegur seorang sahabat apabila dia mengeluh kerana demam. Lantas ku katakan padanya...sabarlah..itu tandanya mungkin ada dosa yang kita dah buat...jadi Allah nak kafarahkan dosa kita...atau hapuskan dosa kecil kita... Tapi apa yang aku ingat, lepas sahaja aku cakap macam tu, terus dia marah aku dan cakap aku laser...Laser ke macam tu? Tak terniat sedikit pun untuk mengecilkan hatinya...malah nada suaraku pun rasanya tidak sedikit pun sinis atau meninggi...Salahkah aku? :( Teguranku disalahertikan... Semenjak daripada itu, aku berhati2 menggunakan perkataan2 tersebut...mungkin aku tersilap orang...dan mungkin juga kerana kekhilafan aku...Maafkan aku wahai sahabat...

Hari ini, aku selesema lagi...batuk pun makin menjadi2...aku teringat kisah itu...:) tapi, aku sudah ada 'sesuatu' sebagai penyejuk hati... "sebagai kafarah dosa2ku"...ye, mesti ingat!! Hmmm...asal demam ni kalau tak silap aku, selepas kena hujan...bila orang tanya, sikit2 kata hujan...sikit2 kata hujan...hujan tu sebagai sebab-musabab sahaja...semuanya dari DIA, Yang Maha Mencipta...sakit ini, dariNya...ingatlah... Soulmate-ku memberitahu...begitu juga dengan seorang sahabatku juga memberitahu...mungkin juga kesakitanku ini akibat dan sebab dari bebanan kerja dan banyak berfikir...hmmm,mungkin juga..Apabila tubuh kita sudah tidak mampu menggalas bebanan yang terlalu sarat, maka boleh jadi juga...terima kasih kepadanya...buat soulmate-ku dan sahabatku itu, jagalah juga dirimu sebaik mungkin...:) Jangan terlalu teruk bekerja dan berfikir...Sabarlah menghadapi musibah yang datang menduga...Allah bersama dengan orang2 yang sabar...Kita sebagai hamba, berbaik sangkalah denganNya...
Wallahua'lam..."Ya Allah...ampunilah dosa2ku..."
~FF, 14:15,10122008~

Tuesday, December 9, 2008

Hantar Soulmate ke Airport...


Ruang legar airport Pengkalan Chepa...

Salah satu tanda airport yang baru...


Lambang kemegahan airport jugak...wau...

Hmmm...sedih sangat bila hanya dapat beraya sehari sahaja bersama suami tercinta...malam raya kedua dah kena balik ke Shah Alam kerana tuntutan kerja yang tidak mengenal waktu...Namun, mesti menghargai waktu yang telah diluangkan bersama...Ini juga dinamakan pengorbanan...Teringin untuk pulang bersamanya, tetapi ruang waktu yang sedikit ini juga harus digunakan bersama keluarga lebih2 lagi nenek ku yang sudah tua.. itu pun di atas keizinan yang telah diberikan oleh sang suami dan kerana dirinya yang begitu memahami...Ketika diriku di dalam dilema antara keluarga dan dirinya, namun dia pantas memberikanku jalan...Katanya, bila lagi nak cuti dengan keluarga...lepas ni dah tak boleh dah...dah susah nak dapat cuti macam ni...Kampung aku bukannya dekat macam Shah Alam dan Batu Gajah atau Beranang..Sementara nenek aku masih ada, luangkanlah waktu bersamanya walaupun untuk seketika..Nenek, yang kupanggil 'mok'...hmm, telah menjagaku dan adik2 masa kecil bila umi dan abahku pergi mengajar...betapa besarnya pengorbanan seorang nenek...ini juga dinamakan pengorbanan,bukan?

Sunday, December 7, 2008

Pulang ke kampung halaman menyambut Raya Haji











Lebih kurang jam 3.10 pagi, bangun tidur dan bersiap-siap untuk balik kampung..dah biasa balik waktu dinihari ni sebab sejuk dan nyaman..jiwa berkobar-kobar kerana dah lama tak pulang ke desa..lebih kurang jam 3.50 pagi, dari Shah Alam,perjalanan dimulakan.Pagi tu, hujan turun renyai2..pulang ikut jalan biasa iaitu Kuala Lipis..banyak kereta yang pulang pada waktu tu..hmmm..lori pun banyak..jalan licin sebab kejap hujan, kejap tak...bawak kereta pun slow2 je..berhenti solat subuh kat Raub..ramai yang berhenti tidur di tepi jalan sebab ngantuk dan letih.Alhamdulillah, pada waktu ni, Allah anugerahkan kami kekuatan dan tenaga. Satu kenangan yang tak dapat dilupakan apabila melalui jalan ni ialah sewaktu melalui tempat umi dan abah serta adik kemalangan di Bukit Tujuh..Namun, bersyukur kerana Allah memanjangkan umur mereka..Alhamdulillah.Lepas tu, kami berhenti makan pagi di Gua Musang lebih kurang jam 8 pagi..ingatkan sempatlah makan pagi kat umah...huhu..windu masakan umi..:) Hujan masih lagi turun..Ah!Macam ngantuklah pulak..best tidur waktu-waktu macam ni..Rasa tak sabar nak sampai umah..penat dan lenguh tu toksah dok cakap la..namun, inilah pengalaman dan 'kemanisan' yang harus dilalui sepanjang menjadi anak perantau...mesti bersyukur dengan jalan yang telah ditetapkan.
Akhirnya...
Pukul 12;30 tengahari semalam baru sampai kampung.. rindunye kat umi dan abah hehee :)
Best menjadi anak perantau...!!!


Kemas rumah


Baru beli rak aritu :)
Ni pulak rak yang aku beli kat Mydin Shah Alam dengan kawan-kawan aku...thanks a lot to my dear friends...sebab teman aku dan tolong aku angkat rak ni..sebelum pasang la...kalau nak harapkan kuasa aku sorang...hmm,maknanya tak terangkat la rak tu...silap haribulan aku yang terangkat...(hmm, memang dah terangkat dah pun!) Di sinilah kita dapat menilai betapa pentingnya sebuah persahabatan dan bermaknanya seorang sahabat...:) Rasa lega sebab aku dah ada tempat untuk letak semua buku2 sekolah aku dan barang-barang kesayangan aku...Ni adalah sudut yang paling kusuka di rumah aku...kalau ada rumah sendiri, kan best...salah satu bilik, boleh dijadikan library...bestnya...! :)