Monday, July 9, 2012

KISAH AJAIB PENUH SYAHDU TENTANG KASIH SEORANG IBU KEPADA ANAKNYA...


Artikel ini saya petik dari Majalah ANIS.
KISAH 1
Kisah seorang pemilik dusun durian yang menembak seekor ibu monyet. Ketika monyet itu meraung kesakitan, sedang darah mencucur deras, kesakitan menyelinap segenap saraf dan sendi, pada luka yang dalam dari bekas peluru pula berbuih terbaur darah pekat bercampur lendir kesakitan yang tidak mampu dibayangkan. Saat itu ketika anak yang bergayut pada tengkuknya meraung ketakutan, si ibu telah menarik anaknya dan diberikan susuan. Hanyir darah dan gempita kesakitan tidak dapat memisahkan kasih antara ibu dan anak. .. Sungguh tragis…. :’(
KISAH 2
Pengalaman seorang anggota bomba.
Pada suatu kemalangan dasyat di lebuhraya yang melibatkan sebuah kereta, sepasang suami isteri dan seorang bayi. Kereta yang dinaiki mereka telah hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan dengan hentaman maksimum. Kereta remuk sepenuhnya.Di tempat duduk pemandu, si suami telah terkulai, badannya terlungkup pada stereng. Dia mati dengan kecederaan teruk pada tubuh dan kepalanya.
Di sebelahnya pula, si isteri sedang bergelut dengan kematian, tubuhnya pula tersepit di situ, terkapit di antara tempat duduk dan keluli pejal kemek seperti ragum maut yang menggigit rapat. Alangkah sukarnya saat itu, pada pipinya tertusuk-tusuk kaca cermin hadapan yang pecah, sedang kulit dahinya terkoyak sehingga menampakkan putih tulang tengkoraknya kesan tujahan keras dan hantukan kuat semasa titik hentaman berlaku. Tulang bahu kanannya pula patah, tulang itu tercungkil keluar mengoyakkan daging dan kulit bahunya, tangannya terkulai.
Pada saat ini ketika darah merah pekat mencucur keluar dari tubuhnya dan kesakitan tidak mampu dibayangkan dengan kata-kata, dengan isyarat longlai dia meminta pada anggota bomba untuk diberikan kepadanya anaknya yang terselamat. Bayi itu masih dalam bedungan sedang menangis kuat. Si ibu dengan lelehan air mata bercampur darah, dalam tangisan pilu penuh sayu, mendakap anaknya seakan tidak mahu berpisah dengan jantung hatinya. Dalam seribu kepayahan, si ibu pada saat itu menyingkap bajunya dan menyusukan anaknya. Dalam saki baki nafasnya itu, dia memeluk anaknya, merangkul erat dan disuapkan lautan kasih sayang dalam aliran air susunya kepada mulut comel yang rakus menyusu.
Kasih ibu seputih susu sebening Firdausi. Dalam nafas sukar itu, dada si ibu berombak-ombak, nafasnya tersekat-sekat… sesaat kemudian dia memejamkan matanya yang menangis, roh berangkat pergi buat selama-lamanya. Meninggalkan anaknya bersama tangisan memanjang dalam episod kasih yang tidak kesampaian…..
Alangkah tragis kisah ini… begitu menyayat rasa … :’(
Sejenak, marilah kita berfikir tentang harga kasih seorang ibu. Luasnya rahmat Ilahi. Begitulah seorang ibu. Allah memberikan mereka rahim kerana mereka kaya dengan kasih sayang. Dalam belaian mereka kita bernafas, dalam kasih mereka kita bernadi dan dalam pengorbanan mereka kita ada pada hari ini.
WALLAHUA’LAM.

1 comments:

Pak Onny said...

Sangat inspiratif sekali.
Sunggu celaka bagi anak yang tidak sayang kepada orang tuanya, terutama kepada Ibu.