Friday, April 10, 2009

Budak sekolah zaman ini...

Budak sekolah rendah zaman ini, tidak sama dengan budak sekolah zaman dulu. Kita bersekolah zaman dulu, rasanya masih pandai lagi menghormati guru dengan seikhlas hati. Dulu, seingat aku, sangat takut melawan guru, apalagi menjawab cakap guru. Apabila guru membuka mulut marah, terus diam tidak berkutik. Takut dikata kurang ajar. Duduk atas kerusi guru dalam kelas pun takut, apatah lagi kerusi dalam bilik guru. Masuk bilik guru pun apabila dipanggil guru atau mengambil barang guru. Usahkan masuk, lalu atau bermain kejar-kejar pun,  jangan harap. Berselisih dengan guru, kalau selepas bagi salam terus tunduk. Semuanya adalah kerana hormatkan guru.

Budak sekolah rendah zaman ini, berbeza benar rasanya dengan zaman dulu. Sangat sedikit yang tahu menghormati guru. Suka melawan dan apabila guru marah sikit, suka menjawab guru. Ada tu, yang paling teruk, siap marah guru lagi. Memberontak. Tumbuk meja menunjukkan tanda protes. Usahkan atas kerusi, atas meja guru pun selamba sahaja berkerumun buat "port" untuk melepak. Jangan kata dalam kelas, dalam bilik guru pun sama. Masuk bilik guru sesuka hati tidak kira masa sama ada guru ada atau tiada. Usahkan main kejar-mengejar di depan bilik guru, dalam bilik guru siap bermain sorok-menyorok lagi. Berselisih dengan guru,usahkan ucap salam, kadang-kadang kita pun dilanggarnya. Nasib baik guru tidak jatuh tangga. Apabila tidak suka guru, bukan setakat mencebik, tetapi siap cakap guru tu bodoh bangang lagi. Alasannya sebab guru bagi banyak kerja sekolah. Di hadapan guru, bukan main lagi bermanis mulut, tetapi di belakang guru, apa yang tak dikatanya..

Entahlah...dunia sudah akhir zaman. Namun, bukan semua murid sekolah rendah macam itu. Masih ada yang tahu menghormati guru samada di bandar atau di kampung. Namun,di kampung, rasanya suasananya berbeza memandangkan di kampung ramai dari keluarga sederhana dan tahu erti susah... Di bandar, ramai yang hidupnya dilimpahi kemewahan yang tidak habis dimakan. Apabila lahir sahaja ke dunia, sudah dipakaikan dengan emas permata. Di kampung, usahkan emas permata, hendak mendapat sesuap nasi pun cukup susah. Apabila sedar hidup dalam kepayahan, maka mereka berusaha untuk mencapai sesuatu. Apabila memperolehi sesuatu, hendaklah bersyukur dan merendah diri. Kepayahan mengajar manusia erti ketabahan. Ketabahan mengajar manusia erti keazaman. Keazaman mengajar manusia erti kesungguhan. Kesungguhan mengajar manusia erti kejayaan. Namun, kejayaan akan membawa manusia samada mengenali erti kesyukuran mahupun ketamakan. Di sinilah, manusia selalu terleka....
Wallahua'lam..

Buat aku dan diriku...
Guru bukan setakat mudarris yang hanya mengajar murid-murid tentang pelajaran mahupun muallim yang memberi pengetahuan duniawi semata, tetapi guru juga adalah murabbi, iaitu mentarbiah murid di samping menyelitkan sedikit ilmu ukhrawi dalam ajarannya supaya murid menjadi seorang insan yang punya peribadi mulia, bukan hanya pandai semata..
Ikhlaskan diri dalam memberi ilmu dan redhakanlah...




0 comments: